fbpx

‘Perbaiki diri, suami saran masuk kelas vokal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABILA semakin sempoi selepas berkahwin dengan lelaki bernama Nik Iruwan.

KUALA LUMPUR – PENYANYI Nabila Razali mengakui bertuah dikurniakan teman hidup yang tidak putus memberikan sokongan terhadap kerjaya seninya meskipun bidang itu menuntut pengorbanan dari segi masa.

Pemilik nama Nur Nabila Mohd . Razali itu berkata, suaminya Nik Iruwan Nik Izani memberi restu malah menyarankan agar dia menyertai kelas vokal bagi mempertingkatkan lagi mutu kerjaya.

“Suami bagi lampu hijau dan tiada masalah kalau saya ingin terus komited dalam arena nyanyian serta lakonan kerana dia tahu kecenderungan saya.

“Dia selalu cakap, jika mahu menjadi penyanyi yang bagus, kena perbaiki diri sendiri serta masuk kelas vokal sebanyak yang mungkin.

“Sentiasa bekerja keras juga antara nasihat yang selalu dititipkan kepada saya. Itu yang dia tekankan,”katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Hanya Kamu serta koleksi terbaru tudung keluaran Nada X Nabila Razali, baru-baru ini.

Menurut Nabila lagi, kini dia ada tempat meluahkan rasa sedih apabila nyanyiannya masih dikecam netizen.

Akuinya, bukan tidak pernah berkongsi rasa itu dengan insan terdekat cuma bersama teman hidup, lebih selesa kerana tiada rahsia antara mereka.

“Dulu banyak juga kesedihan kita tanggung sendiri. Memang ada orang sekeliling tetapi bukan semua kita boleh luahkan.

“Sekarang perasaan menanggung rasa sakit itu dapat dikongsi dengan suami yang dapat redakan hati,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Pematah Hati itu menegaskan status baharu sebagai isteri tidak akan memperlahankan  rentaknya sebagai penyanyi mahupun pelakon.

“Saya enggan jadikan status ini alasan untuk tidak mencari rezeki atau kurangkan bekerja.

“Rezeki datang dalam pelbagai cara, mungkin sekarang agak kurang berlakon tapi banyak menyanyi dan begitu sebaliknya,” katanya.

Nabila sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan serta bekas pemandu litar Formula berusia 38 tahun itu pada 18 November lalu selepas enam bulan berkenalan.

Sementara itu, mengenai koleksi tudung bersempena ulang tahun ke-31, katanya lebih bermakna apabila dilancarkan bersama single istimewa, Hanya Kamu.

Lagu itu didedikasikan khas buat Nik Iruwan yang menceritakan kembali detik manis perkenalannya mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI