PELUMBA negara, Nazirul Izzat Bahauddin menoktahkan kemenangan pertamanya di pentas Asia selepas menjuarai perlumbaan Underbone (UB) 150cc pada perlumbaan penutup tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram hujung sebentar tadi.
Pada perlumbaan tersebut, pelumba berusia 23 tahun itu mengakui dia berdepan masalah pada jenteranya selepas secara tiba-tiba hilang kuasa yang menyebabkannya sekadar menamatkan perlumbaan tempat ke-16.
Bagaimanapun, pelumba pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia itu bernasib baik apabila pesaing terdekatnya Shafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR Racing hanya menamatkan perlumbaan tempat ketiga sekali gus memberi peluang kepada Nazirul untuk bergelar juara UB150cc di Thailand.
Biarpun terdapat lagi perlumbaan esok yang menawarkan 25 mata, namun peluang Shafiq untuk mengejar gelaran juara keseluruhan sudah tertutup rapat selepas dia sekadar mengumpul 128 mata berbanding Nazirul yang kini meraih 156 mata.
“Pertama sekali terima kasih Allah memberi saya rezeki pada hari ini. Apapun saya sangat sedih kerana tidak dapat meraikan kejayaan ini bersama arwah ayah saya kerana dia selalu berada di belakang saya.
“Pada perlumbaan tersebut, jentera saya berdepan kerosakan pada pusingan terakhir dan ketika itu saya berada dalam kelompok empat terbaik.
“Mungkin tiada rezeki untuk saya menaiki podium hari ini. Apapun, kemenangan in adalah datang Allah dan terima kasih kepada mak saya, keluarga dan juga buat pasukan yang bekerja keras sepanjang perlumbaan.
“Tidak lupa buat semua rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk menjulang gelaran pada hari ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ayah Nazirul, Muhammad Bahauddin Hadzir meninggal dunia pada Mac lalu dan menjadi tulang belakangnya sepanjang karier beliau sebagai pelumba sejak usia 13 tahun.