PETALING JAYA – “Saya tak tahu siapa gadis itu, tak pernah lihat dia,” itu penegasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diceritakan oleh peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu.
Muhammad Shafee berkata pada sesi temu bual ‘podcast’ Keluar Sekejap (KS) kendalian Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan menerusi episod 70, yang akan dimuat naik sepenuhnya pukul 11 pagi ini.
Dalam video sekitar dua minit itu, Muhammad Shafee berkata, Najib juga memberitahunya bahawa beliau tidak fikir Altantuya pernah berada di hotel sama di luar negara.
“Ada orang kata you (Najib) bersarapan dengan Razak Baginda dan juga Altantuya (tanya Muhammad Shafie pada Najib). Dia (Najib) tengok tepat ke arah saya dan dia kata, ‘no, no such thing’ (tak, tiada perkara seperti itu).
“I do not know who this girl is… (saya tak tahu siapa gadis itu), never seen her (tak pernah lihat dia). I don’t think she has ever been in the same hotel overseas anywhere where I was (saya tak fikir dia berada di hotel yang sama di luar negara di mana saya berada),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Khairy Jamaluddin menunjukkan satu gambar kononnya memperlihatkan Najib duduk semeja bersama Altantuya serta peguam dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda.
Bagaimanapun, penjelasan penuh daripada Muhammad Shafee hanya boleh ditonton di media sosial KS beberapa jam lagi sekali gus ramai yang menantikan bual bicara episod terbaharu kali ini.
Menjelaskan kembali kes yang pernah dibicarakan di Mahkamah Tinggi sebelum ini, Muhammad Shafee berkata, tiga individu dibicarakan iaitu dua yang dikatakan pembunuh, manakala seorang lagi ialah ‘abetment‘ iaitu Abdul Razak.
“Di akhir kes pendakwaan Razak Baginda, kesnya dibuang. Tidak ada bukti yang cukup dikatakan, manakala yang dua lagi (Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar) dipanggil pembelaan mereka dan didapati salah.
“Througout the trial (melalui perbicaraan tersebut), yang ini mustahak. Nama Datuk Seri Najib pun tak keluar langsung, zero,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE