ISTANBUL – Manchester United di ambang penyingkiran daripada saingan Liga Juara-Juara musim ini selepas mencatat keputusan seri 3-3 menentang Galatasaray di RAMS Park awal pagi semalam.
Keputusan itu menyaksikan skuad The Red Devils menghuni tangga tercorot Kumpulan A selain wajib menang ke atas pendahulu, Bayern Munich pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Old Trafford 13 Disember depan.
Pengurus United, Erik Ten Hag meluahkan kekecewaan terhadap aksi longlai yang ditampilkan barisan pemainnya, terutama bahagian pertahanan apabila melakukan banyak kesilapan mudah sepanjang perlawanan itu.
“Kami mendahului perlawanan hari ini (semalam) dan sepatutnya boleh bawa pulang tiga mata. Secara keseluruhan, kami bermain sangat baik tetapi pada masa sama, kami gagal untuk bertahan dengan baik.
“United mendahului perlawanan 3-1, kami tidak sepatutnya mensia-siakan kelebihan tersebut. Saya perlu terima kenyataan bahawa pasukan ini patut dikritik, termasuk diri saya sendiri,” katanya.
Pada perlawanan itu, gol United dijaringkan Alejandro Garnacho, Bruno Fernandes dan Scott McTominay manakala gol Galatasaray hadir menerusi dua jaringan Hakim Ziyech dan satu gol Muhammed Kerem Akturkoglu.
“Semua keputusan United adalah berpunca daripada saya dan saya bertanggungjawab dengan aksi hari ini (semalam). Bagaimanapun, semua orang tahu bahawa kami berada di landasan betul dengan projek pasukan,” ujar Ten Hag. – AGENSI