LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta ternyata bangga dengan aksi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya selepas melakar kemenangan 6-0 ke atas Lens pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Emirates awal pagi semalam.
Pada aksi Kumpulan B itu, skuad The Gunners berjaya meraih gol menerusi enam penjaring berbeza, Kai Havertz, Gabriel Jesus, Bukayo Saka, Gabriel Martinelli, Martin Odegaard dan Jorginho.
Keputusan tersebut turut menyaksikan Arsenal mengesahkan kemaraan lolos ke peringkat kalah mati selain berjaya meraih status selaku juara kumpulan ketika saingan berbaki satu perlawanan.
Kata Arteta, apa yang ditampilkan oleh barisan pemain cukup luar biasa kerana pada awalnya mereka dilihat agak tertekan memandangkan hanya kemenangan dapat mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik.
“Keputusan ini adalah diluar jangkaan saya dan kita berjaya meraih kemenangan besar selain mengesahkan status selaku juara kumpulan. Lens adalah pasukan yang baik tetapi pemain kami terlalu bagus khususnya pada 45 pertama.
“Kemenangan ini juga membuatkan saya dapat menarik nafas lega kerana kita bakal mengharungi jadual padat, mungkin pada aksi terakhir UCL nanti saya boleh beri ruang buat pemain yang kurang mendapat minit permainan,” katanya.
Sementara itu, Odegaard selaku kapten The Gunners percaya kombinasi ampuh di jentera serangan menjadi punca pasukan dapat meraih keputusan positif pada aksi di laman sendiri kali ini. – AGENSI