JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan sebuah majlis perkahwinan menyediakan anak pokok sebagai cenderahati kepada tetamu, lapor program berita Liputan6 semalam.
Video itu dimuat naik dalam akaun TikTok @iilmafitri. Majlis perkahwinan pasangan pengantin yang merupakan pencinta alam sekitar itu diadakan di Tegal, Jawa Tengah.
Menurut pemilik akaun, tetamu akan diberikan sekeping kad ketika tiba di majlis tersebut. Mereka perlu menukar kad tersebut dengan anak pokok sebelum pulang.
Anak-anak pokok yang disediakan sebagai cenderahati ditempatkan di halaman rumah berhampiran khemah majlis.
Seorang lelaki dilihat bertugas menjaga anak-anak pokok tersebut. Beliau akan menerangkan jenis-jenis tumbuhan dan membenarkan tetamu memilih anak pokok yang mereka inginkan.
Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Saya lebih suka diberi pokok berbanding gelas yang tertera tulisan,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI