JOHOR BAHRU – Kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19 sejak tiga tahun lalu memaksa sepasang suami isteri membina kehidupan baharu yang serba kekurangan di sebuah rumah usang di pesisiran teluk Sungai Layang, Ulu Tiram di sini.
Mohd. Sofi Abdullah, 49, berkata, rumah tersebut dibina daripada papan dan bahan-bahan terbuang dan menjadi kediamannya dengan isteri, Nafisah Ahmad, 55.
Katanya, sebelum berkahwin, dia yang berasal dari Jalan Simpang Lima, Parit Sulong, Batu Pahat bekerja sendiri sebagai tukang rumah serta membantu melakukan kerja-kerja buruh binaan.
“Saya mendirikan rumah tangga dengan isteri sebulan sebelum negara dilanda pandemik Covid-19 iaitu pada Februari 2020. Ketika itu, saya buat macam-macam kerja termasuk bina rumah penduduk.
“Sebelum ini, kami menyewa di Batu Pahat dan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya kehilangan kerja. Ketika itu, mahu bayar sewa pun susah dan sebab itu saya buat keputusan untuk bawa isteri ke sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Sofi berkata, ekoran kekangan kewangan, dia terpaksa membina rumah kecil menggunakan bahan-bahan buangan yang diberikan oleh kontraktor dan kawan-kawan.
“Ada juga yang hulur bantuan seperti simen dan batu-bata, manakala pasir saya ambil di tepi pantai.
“Memandangkan rumah dibina atas tanah rizab, bekalan air bersih dan elektrik tidak dapat disediakan. Kami hanya bergantung kepada air hujan serta solar yang dibuat sendiri.
“Kalau untuk mandi dan basuh pakaian, kami guna air tadahan hujan, manakala untuk minum dan memasak kami pakai air yang dibeli daripada mesin,” katanya lagi.
Jelas beliau, buat masa ini dia bergantung kepada pendapatan sebagai nelayan serta kerja-kerja sebagai buruh untuk menyara kehidupan bersama isteri.
“Pendapatan tidak menentu, kalau turun ke laut tangkap ikan ada hasil kena bahagi tiga memandangkan saya pakai bot milik nelayan berlesen,” ujarnya.
Terdahulu, kesusahan yang dialami pasangan suami isteri itu mendapat simpati badan bukan kerajaan (NGO) Permata Baiduri Malaysia yang hadir menziarahi mereka baru-baru ini.
“Pihak kami terpanggil untuk membantu keluarga Mohd. Sofi dan akan mendapatkan bantuan bagi meringankan beban yang dihadapi serta mencari kehidupan yang lebih baik,” kata Pengerusi Permata Baiduri Malaysia, Faridah Hamzah.
Orang ramai yang ingin membantu Mohd. Sofi dan isterinya boleh menghubungi talian 016-7537368 (Nafisah Ahmad).