fbpx

Rumah besar, masih minta zakat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumah mewah milik keluarga yang didiami pemohon LZS secara sementara.

PETALING JAYA – Siapa sangka, di dalam rumah besar dan mewah, masih ada insan yang memerlukan bantuan.

Menerusi perkongsian di Facebook Lembaga Zakat Selangor (LZS), rumah tersebut yang didiami pemohon iaitu sepasang suami isteri merupakan milik kakaknya dan hanya tinggal di situ secara sementara.

Menurut LZS, pihaknya tampil ke lokasi itu berikutan aduan kes tunggakan yuran pengajian yang diterima Operasi Agihan Asnaf Daerah Hulu Langat.

“Ketika hadir ke lokasi, melihat rumah agam, dengan fasiliti ‘intercom’, selain terdapat beberapa buah kenderaan di dalam kawasan pagar. Segera hati ini menolak rasa negatif.

“Kami disambut oleh seorang lelaki dengan penuh mesra dan kami bertanya khabar sepertimana yang dilakukan dalam kes-kes siasatan di lapangan.

“Suami menghidap kanser tahap empat manakala isteri tidak bekerja. Tiga orang anaknya pula masih menuntut dalam bidang perubatan di Bangladesh, Rusia dan Cyberjaya yang dibiayai sendiri menggunakan pendapatan sebagai kontraktor sebelum ini,” katanya.

LZS berkata, pasangan terbabit juga telah menghabiskan wang simpanan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi perubatan kemoterapi di Beacon Hospital sehingga terpaksa keluar dari rumah sewa.

“Saya redha dengan ujian Allah, mungkin ada sesuatu tanpa sedar, saya buat Allah murka.

“Rumah ni pun rumah kakak, sementara belum terjual, saya minta izin untuk tinggal di sini. Nanti bila dah terjual rumah ni, Kami usahalah mencari rumah lain,” kata pasangan tersebut kepada pihak LZS.

Justeru LZS berkata, keluarga tersebut layak didaftarkan sebagai asnaf fakir berdasarkan kepada kiraan had kifayah semasa.

“Keluarga ini akan dibantu dengan kewangan dan makanan bulanan terlebih dahulu. Selain itu, akan dilihat keperluan sampingan yang boleh dibantu berdasarkan garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI