fbpx

Penduduk Bachok rugi hampir RM1 juta akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah penduduk di Taman Perumahan Harmoni Bator, Bachok dinaiki air susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

BACHOK – Seramai 319 penduduk Taman Perumahan Harmoni Bator, di sini ­mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM890,000 melibatkan kemusnahan harga benda akibat banjir kilat yang melanda kawasan tersebut setiap tahun.

Mereka mendakwa, ia berpunca daripada masalah sistem pembentungan yang tidak dapat melancarkan aliran keluar air dari tali air di kawasan Pemba­ngunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-­Semerak berhampiran kawasan perumahan itu setiap kali hujan lebat.

Pengerusi taman perumahan itu, Azman Azmi berkata, tali air sepanjang 850 meter itu hanya menggunakan pembetung bersaiz kecil yang dibina sejak 20 tahun lalu sebelum kawasan itu menjadi penempatan penduduk.

Menurutnya, 89 keluarga yang tinggal di kawasan perumahan itu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat setiap kali hujan lebat.

“Sejak bah besar pada 2014, kami sudah membuat pelbagai permohonan kepada pihak ­terbabit termasuk Jabatan ­Pengairan dan Saliran (JPS) dan IADA Kemasin-Semerak, namun belum mendapat jawapan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Kamalizan Khaizi, 43, berkata, limpahan air dari tebing tali air itu menyebabkan kawasan luar rumah mereka ditenggelami air setinggi 0.6 meter baru-baru ini.

“Keadaan itu menyebabkan air sedalam 0.3 meter masuk ke dalam rumah.

“Kami berpindah ke PPS sebanyak dua kali pada tahun ini dan masih bersiap sedia untuk hadapi masalah sama selagi musim tengkujuh belum bera­khir,” ujarnya.

Sementara itu, Zameri berkata, masalah penduduk itu akan dibincangkan dalam mesyuarat khas di Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok untuk pelan tindakan awal.

Katanya, hasil lawatan ke lokasi mendapati, kerja pemba­ngunan semula parit dan saliran di kawasan itu perlu dilakukan segera kerana punca banjir adalah kegagalan fungsi tali air ­mengalirkan air hujan ke sungai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI