GERIK – Pengiktirafan Lenggong Geopark sebagai salah satu Tapak Geopark Global oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bakal memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri pelancongan tempatan.
Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria berkata, penduduk setempat adalah tulang belakang industri pelancongan di Lenggong Geopark, bahkan penglibatan mereka turut diambil kira UNESCO bagi mengiktiraf lokasi itu sebagai Tapak Geopark Global.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Daerah Gerik memaklumkan, terdapat pelbagai aspek yang dilihat oleh UNESCO bagi tujuan pemarkahan dan tahap penglibatan penduduk di kawasan Lenggong Geopark turut memainkan peranan penting.
“Malah, mereka juga mahu lihat tahap penglibatan masyarakat Orang Asli, begitu juga aspek jaringan geopark serta pemeliharaan dan pengurusannya.
“Kerajaan negeri sedang mengumpul maklumat berkaitan bagi penghasilan dossier untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO tersebut. Kita yakin syarat-syarat ditetapkan pihak tersebut dapat kita penuhi dan diiktiraf sebelum 2030,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Di bawah program flagship Perak Sejahtera 2030, Lenggong Geopark merupakan antara program yang menawarkan ekonomi pengalaman kelas pertama bagi memastikan kelestarian pembangunan negeri.
Ekonomi pengalaman memfokuskan empat sektor utama, iaitu pendidikan, pelancongan, perkhidmatan dan kesejahteraan bagi menawarkan nilai estetika kepada pengguna untuk terus kekal mendapatkan produk serta perkhidmatan.
Mohd. Zairasyahli Shah berkata, pengiktirafan itu juga sekali gus dapat membantu meningkatkan jumlah pelancong ke Lenggong Geopark dan memberi impak secara terus terutamanya dari segi pendapatan kepada penduduk tempatan.
Katanya, penduduk memainkan banyak peranan di kawasan itu, antaranya sebagai pemandu pelancong ke lokasi-lokasi menarik seperti Gunung Papulut dan tapak UNESCO Lembah Lenggong, operator bot serta sebagai pemilik-pemilik kemudahan penginapan serta makanan.
“Ada bezanya apabila Lenggong Geopark diuruskan oleh penduduk tempatan. Sebagai contoh, aspek kebersihan lokasi pelancongan pastinya dijaga rapi kerana ia mewakili imej mereka. Kelestarian alam sekitar juga pastinya berada pada tahap tinggi,” katanya.
Tambahnya, kira-kira 28,000 pelancong telah menginap di sekitar Lenggong Geopark setakat Oktober lalu, manakala lebih 23,000 direkodkan melawat Lembah Lenggong serta Galeri Lenggong Geopark.
“Ada juga program dan acara kita buat untuk tarik kedatangan pelancongan yang mana setakat hari ini jumlah peserta telah mencecah 9,000 orang.
“Antaranya program pengurusan sisa pepejal bersama komuniti pelancongan Lenggong, Lenggong Outdoor Festival, pelancaran pakej pelancongan arkeo dan Geopark Lembah Lenggong 2023 serta Ekspedisi Saintifik Lenggong Geopark,” ujarnya.