IPOH – Kedudukan kewangan Perak terus mengukuh apabila merekodkan kutipan hasil sebanyak RM1.05 bilion setakat 25 November lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan baik itu memberi keyakinan kepada kerajaan negeri untuk mengatasi sasaran kutipan hasil yang ditetapkan sebelum ini.
Katanya, seiringan dengan itu, kerajaan negeri optimis untuk sekali lagi menutup akaun dalam kedudukan surplus bagi dua tahun berturut-turut.
“Namun, saya mengingatkan diri saya dan kita semua supaya tidak mengambil sikap mudah berpuas hati.
“Segala usaha dan kudrat daripada semua warga pentadbiran kerajaan negeri akan terus digembleng bagi menjayakan projek-projek berimpak tinggi seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan,” katanya ketika berucap dalam Pembentangan Belanjawan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Menurut Saarani, seiring pertumbuhan ekonomi yang baik, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 juga menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan peningkatan hasil yang ketara iaitu RM1.09 bilion.
Katanya, peningkatan hasil itu sekali gus mengulangi pencapaian melebihi angka satu bilion yang pernah direkodkan pada tahun 2019.
“Sukacita saya memaklumkan kepada dewan yang mulia ini, belanjawan defisit yang disediakan bagi tahun 2022 telah berjaya ditutup pada kedudukan surplus RM29.6 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE