SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 5,811 notis kepada pemandu warga asing dalam Ops Patuh Bersepadu 2023.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, JPJ turut mengambil tindakan tegas kepada pemandu warga asing dengan mengeluarkan notis itu atas pelbagai kesalahan.
“Ini adalah kesalahan yang sangat serius yang kita jumpa yang mana mereka ini tidak pernah dilatih dan tidak sepatutnya memandu atau menunggang kenderaan di jalan raya.
“Apabila kami mengesan kenderaan-kenderaan ini kami akan menyita dan akan mengambil tindakan kepda pemilik kenderaan yang membenarkan individu menunggang atau memandu tanpa lesen yang sah,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang akhbar Ops Patuh Bersepadu di Tol Senawang malam tadi.
Tambahnya ,sepanjang operasi selama 29 hari berakhir semalam itu sebanyak 719,766 kenderaan telah diperiksa dan 122,208 notis atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.
Sementara itu, katanya, untuk tempoh Januari hingga Oktober 2023, sebanyak 2,360 dikenakan mata demerit di bawah Sistem Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 1,966 pemegang lesen dikenakan amaran. Bagi pemegang lesen PDL, enam lesen dibatalkan.
“Bagi pemegang lesen CDL, seramai 333 orang dikenakan penggantungan kali pertama (8 bulan), penggantungan kali kedua (10 bulan) seramai 49 orang dan penggantungan kali ketiga (12 bulan) seramai 5 orang,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE