SEPANG – Jabatan Imigresen (JIM) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu kebanjiran pelancong asing sengaja tidak keluar dari Malaysia.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pasukan tersebut dibentuk lebih tiga bulan lalu dengan hasilnya itu dijangka dapat diketahui pada awal tahun depan.
Katanya, pasukan itu adalah berbeza dengan pasukan pemantau pergerakan keluar pelancong China dan India diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana ia melibatkan pemantauan pelancong semua negara.
Jelasnya, kaedah pemantauan ini adalah dengan mewajibkan semua pelawat mengisi maklumat diri dalam Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) sebelum tiba yang disepadukan dengan pangkalan data rekod JIM.
“Pelancong terbabit kena ada tiket penerbangan balik dan tempahan hotel sah negara ini,” katanya pada sidang akhbar sleepas meninjau pelaksanaan hari pertama Pelan Liberalisasi Visa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Tambah Ruslin, mana-mana pelawat luar yang gagal memaklumkan dua perkara asas itu akan ditegah daripada memasuki Malaysia dan diberi Notis Penolakan Masuk (NTL) seperti mana dilaksanakan semua negara lain bagi mengekang masalah pendatang asing tanpa izin (PATI).
Selepas habis tempoh visa, penguatkuasaan JIM ujarnya, akan terus menjejaki mereka menerusi risikan dan naziran terutama lokasi titik panas tumpuan ramai rakyat negara itu.
“Kita tidak mahu ada lagi kualiti pelancong sebegini yang tidak tahu pun di mana dia akan tinggal sepanjang berada di Malaysia bahkan tiada tiket penerbangan pulang,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE