fbpx

Digital ID, tiada cip dimasukkan dalam badan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar diberi penerangan mengenai Digital ID di Putrajaya hari ini.

PETALING JAYA – Tiada cip akan dimasukkan dalam badan manusia susulan pelaksanaan Identiti Digital Nasional atau Digital ID di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan Digital ID juga tidak nenyebabkan kebocoran rekod peribadi serta perbankan.

“Satu lagi kejayaan terpahat dengan pelaksanaan Identiti Digital Nasional atau Digital ID, suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang secara rasminya bermula hari ini.

“Saya memberi jaminan tiada cip dalam badan akan dimasukkan, mahupun rekod peribadi serta perbankan terbocor, kononnya ini kebimbangan sesetengah pihak selepas pelaksanaan Identiti Digital Nasional.

“Ini tidak berasas, sementelahan rakyat harus menerima kenyataan bahawa negara harus maju seiring dengan perkembangan semasa termasuk penggunaan teknologi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Digital ID merupakan suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital bagi mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Ia platform yang dipercayai dan selamat serta memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, semua pihak perlu mendengar penjelasan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berhubung Digital ID supaya ia tidak menjejaskan keyakinan mereka.

Perdana Menteri berkata, beliau malah telah mendaftar dan mencubanya sendiri sebelum bermula mesyuarat Kabinet bersama Jemaah Menteri.

Menurut beliau, turut berbuat demikian antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI