JITRA – Polis berjaya menumpas sindiket penyeludupan petrol dan diesel setelah menyerbu pusat pengumpulan bahan itu di Bedong, Kuala Muda semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, polis turut menahan sembilan lelaki termasuk empat warga asing dipercayai bekerja di premis berkenaan dalam operasi pada pukul 1.15 petang.
“Kesemua suspek ditahan bersama sebuah lori tangki yang diubah suai oleh sindiket berkenaan. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori itu menjumpai cecair disyaki petrol berkapasiti lebih kurang 19,000 liter yang bernilai RM38,950.
“Pemandu lori berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen permit khas barang kawalan berjadual dan permit membawa bahan api,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan ke atas warga asing yang ditahan juga mendapati tiada dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
“Tangkapan serta rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Selain itu polis turut memperoleh tahanan reman terhadap warga asing berkenaan bagi siasatan lanjut.
“Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 KPDN,” katanya.
Jelasnya, modus operandi berkenaan adalah mengumpul bahan bersubsidi dari stesen minyak seluruh negeri ini sebelum dibawa pusat pengumpulan tersebut.
“Lori treler berkenaan dipercayai dari Negeri Sembilan yang datang ke pusat pengumpulan itu membawa petrol disyaki untuk diseludup ke negara jiran.
“Lori tangki yang sama akan membawa pulang diesel yang dikumpul ke sini ke Negeri Sembilan dipercayai untuk tujuan kegunaan industri,” katanya.- KOSMO! ONLINE