fbpx

Daripada ‘zero’ kepada usahawan spa berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NANA (kanan) sewaktu majlis perasmian cawangan kedua spa kecantikan miliknya di Sejati Walk, Sandakan.

Tiada ilmu dalam selok-belok perniagaan bukan alasan apatah penghalang bagi wanita berusia 35 itu mengusahakan spa kecantikan.

Masna Osman nekad mengusahakan Princess Muslimah Spa Sandakan (Nana Puteri Spa Muslimah) yang terletak di Happy Mart Shopping Centre, Batu 4, Indah Jaya, Sandakan, Sabah sejak lapan tahun lalu.

Berkongsi kepada Aura, wanita yang mesra disapa Nana itu memberitahu, penglibatan awal dirinya dalam dunia perniagaan tidak seindah disangka.

Ujarnya, rakan kongsi yang baru dikenali tiba-tiba bertindak menarik diri atas sebab tertentu.

“Sebenarnya, saya langsung tidak ada pengalaman dalam bidang ini.

“Buka bisnes spa secara kecil-kecilan ini pun sebenarnya tanpa perancangan.

“Bisnes ini dibuka selepas saya mengenali seorang rakan kongsi yang mengatakan dia berpengalaman dalam perniagaan spa.

“Ketika itu, saya mempunyai modal dan minat mendalam terhadap urutan, tetapi memang tidak ada apa-apa asas dalam bidang kecantikan dan perniagaan,” katanya memulakan bicara.

Jelasnya, tidak sampai tiga hari berbincang, dia terus menyewa satu lot kedai dan memulakan bisnes.

Tanpa disedari, Nana rupanya tersilap memilih rakan kongsi kerana membuat keputusan tanpa berfikir panjang.

“Selepas lebih tiga bulan kami beroperasi dan menjalankan perniagaan, dia memilih untuk tarik diri disebabkan masalah keluarga yang tidak dapat dielakkan.

NANA (tengah) mengusahakan spa Muslimah di Happy Mart Shopping Centre, Sandakan, Sabah.

“Selepas itu, saya berjumpa pula dengan seorang rakan yang juga ‘zero’ dalam bidang kecantikan dan perniagaan.

“Sebelum ini, dia merupakan pelanggan semasa saya menjual tudung.

“Saya amat bersyukur kerana dia sanggup bersusah payah menaikkan perniagaan sehinggalah apa yang kami ada sekarang ini,” ujarnya.

Meneruskan perkongsian, Nana memberitahu, kembara perjalanan bisnes spa itu pada awalnya begitu perlahan dan kehadiran pelanggan boleh dikira dengan jari.

Ujar Nana, ada kalanya, dia hanya duduk di rumah dan menunggu panggilan daripada pelanggan yang ingin membuat rawatan.

Pun begitu, dari tahun ke tahun, pelanggan mulai ramai selepas mengetahui perniagaan serta perkhidmatan ditawarkan.

“Sebelum menceburi bisnes spa, saya pernah menjual tudung. Dari situ, saya ada beberapa pelanggan tetap yang kemudiannya turut menyokong bisnes dijalankan ini.

“Alhamdulillah, setiap hari, spa ini menerima lebih daripada 10 orang pelanggan.

“Kami akan lebih sibuk pada musim perayaan atau cuti umum.

“Kalau dahulu mahu dapat RM50 sehari pun seksa.

“Kini, pendapatan kami telah melebihi RM1,000 sehari,” katanya.

Nana kini boleh berbangga apabila cawangan kedua spa kecantikan Muslimahnya selamat dibuka serta dirasmikan pada tahun lalu.

Diaju mengenai perancangan jangka panjang dan hala tuju syarikat, Nana menyatakan, dia menanam impian menjadi tenaga pengajar atau mentor berpengaruh dalam bidang urutan serta kecantikan.

“Apa yang penting, sebagai seorang usahawan wanita, kita kena rajin berusaha serta tidak mudah mengalah meskipun persaingan dalam bidang ini sangat tinggi.

“Saya percaya, sekiranya kita memberikan khidmat terbaik, rezeki sentiasa ada.

“Selain itu, jangan pernah jemu untuk menimba ilmu dan mengasah kemahiran, walaupun datang daripada kosong seperti saya.

“Sehingga ke saat ini, saya masih lagi giat dan aktif mengikuti kursus di dalam serta luar Sabah untuk menambah lagi ilmu.

“Tambahan pula, bidang spa dan kecantikan ini sentiasa berkembang serta berubah mengikut arus masa,” tuturnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI