fbpx

Apresiasi buat Sopi Samaile

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“ADA mana? 20 minit sampai.” Demikian khidmat pesa­nan ringkas (SMS) yang diterima penulis pada hujung April 2012. SMS dihantar bakal Penolong Ketua Biro ­Kosmo! Sarawak ketika itu, Sopi Samaile.

Seperti dijanjikan sebuah kereta Proton Wira tiba di hotel penginapan penulis di Jalan Song Thian Cheok, Kuching. Serius orangnya. Terdetik dalam hati kali pertama melihat Sopi.

Pakai baju macam cikgu sekolah. Sebelum persepsi ini berubah 360 darjah. Rupanya memang ‘sempoi’ habis orangnya. Suka beralah, boleh mendengar pendapat penulis walaupun hanya setahun jagung dalam bidang kewartawanan. Daya empati beliau tinggi.

Asing sekali bandar raya ini ketika itu pada hemat penulis. Penulis kali pertama menjejakkan kaki di Sarawak. Ditukarkan untuk melicinkan operasi Kosmo!, selepas akhbar kompak paling pantas berkembang ini bakal melebarkan sayap ke Sarawak dan Sabah.

Kelmarin, perjalanan dari Kuching ke Gedong, Simunjan dirasakan terlalu lama. Jaraknya kira-kira 90 kilometer sahaja. Ditemani bekas jurugambar Kosmo!, Mohamad Gustie Noorambia sepanjang jalan kami hanya bercerita tentang Sopi.

Kami mengulang-ulang bercerita. Sopi ini siapa yang kenal rapat dengan beliau, faham benar dengan sikapnya yang tidak suka berbahasa basi. Cakap ketika perlu, namun tidak sedikit pun terhakis kemesraannya.

Beliau suka bercerita ketika hidupnya susah. Pernah bekerja di sebuah pembinaan di Kuching. Betapa dia meluahkan kesyukuran selepas diberi peluang sebagai stringer (penulis sambilan) oleh Zuhairi Ali (Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak ketika itu). Rupanya graduan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berbakat dalam penulisan.

Sopi ini ‘terbitnya’ biru, ‘menjulangnya’ merah. Pada 2003, Sopi ditawarkan menjadi staf Utusan Malaysia dan terbang ke Kuala Lumpur. Ditugaskan ke Meja Jenayah. Pernah menabur bakti di Johor sebelum diangkat menjadi Wartawan Eksekutif Biro Utusan Malaysia di Kuching.

Pada usianya 33 tahun dia dilantik pula sebagai Penolong Ketua Biro Kosmo! pertama bagi mengetuai akhbar ini di Sarawak.

Dalam banyak hal (selain kerja dan sokongan terhadap Liverpool) kami selalu tidak sependapat. Selalunya ‘selesai’ di meja makan. Kami bergelak ketawa kembali. Esok pula cari
hal lagi mahu ‘gaduh’ apa pula.

Mungkin sebab ini bila ada orang bertanya prestasi penulis di Sarawak, jawapan Sopi mesti ‘dia reporter yang bagus dan dengar cakap’. Hingga tiada satu buruk pun keluar daripada mulutnya.

Masih tidak percaya Khamis minggu lalu, kita masih ‘bergaduh’ isu merepek di meja makan. Selang seminggu penulisan ini Sopi sudah tiada. Kini, giliran aku, Aiok dan Apai pula mengulang-ulang cerita baikmu.

Betapa kasih beliau sebagai abang sulung kepada lima adiknya. Penulis tidak pernah bersua dengan semuanya tetapi adik-adiknya tidak lekang dari mulut Sopi.
Kelmarin berkesempatan bertemu ibu bapa Sopi, Haji Samaile dan Hajah Aton, tiada kata-kata mampu diluahkan selain ucapan takziah dan ingatan rakan-rakan di Semenanjung. Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI