PETALING JAYA – Tindakan dua anggota Unit TIndakan Khas (UTK) iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korperal Sirul Azhar Umar yang membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu didakwa bukan dilakukan atas arahan daripada pihak lain.
Peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, persoalan sama ada tindakan tersebut melibatkan Abdul Razak Baginda atau bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah timbul.
“Sungguhpun mereka (Azilah dan Sirul Azhar) cuba masukkan perintah pihak atasan untuk (pembelaan) namun ia tidak berfungsi kerana ini merupakan jenayah secara total.
“Jika pihak atasan memberitahu anda untuk pergi membunuh, anda tidak boleh melakukanya kerana ia adalah jenayah. Jadi, persoalan ini tidak timbul sama sekali,” katanya menerusi podcast Keluar Sekejap, hari ini.
Shafee berkata demikian bagi menjawab persoalan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan mengenai arahan yang diterima dua anggota UTK tersebut.
“Persoalan dia, kenapa dua anggota ini (bunuh) Altantuya dan mana mungkin mereka terima arahan dari Razak Baginda. Siapa Razak Baginda? Beliau hanya seorang jutawan dan merupakan kenalan rapat kepada Najib,” soal Khairy Jamaluddin.
Justeru, Shafee berkata, persoalan menerima arahan daripada pihak atasan dilihat sebagai kenyataan tidak masuk akal sehinggalah mereka mengaitkannya dengan pembantu Najib, Musa Safri.
Altantuya yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, dibunuh pada 18 Oktober 2006.
Pada 9 April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah atas kesalahan membunuh Altantuya, namun dilepas dan dibebaskan pada 23 Ogos 2013 oleh Mahkamah Rayuan.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan panel lima hakim sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar, pada 13 Januari 2015.
Dalam pada itu, Sirul Azhar meninggalkan Malaysia pada 2014 ketika kes masih lagi dalam rayuan, dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Pada 2019, Azilah Hadri pula membuat dakwaan mengejutkan melalui akuan bersumpah (SD) mendakwa menerima arahan daripada Datuk Seri Najib Razak untuk membunuh Altantuya Shaariibuu. – KOSMO! ONLINE