MANCHESTER – Manchester City memastikan tempat ke pusingan kedua Liga Juara-Juara sebagai juara Kumpulan G selepas bangkit menewaskan RB Leipzig 3-2 pada perlawanan yang berlangsung di Etihad awal pagi semalam.
Juara Eropah itu menunjukkan semangat cukup tinggi pada perlawanan tersebut apabila bangkit daripada ketinggalan 0-2 di separuh masa pertama bagi memastikan mereka mengutip tiga mata penting di laman sendiri.
Pemain terbaik perlawanan, Phil Foden mengakui tidak berpuas hati dengan aksi keseluruhan ditampilkan The Citizens selain percaya mereka hanya memerlukan satu gol di separuh masa kedua untuk melakukan kebangkitan.
“Saya harus katakan bahawa ini adalah aksi terburuk kami di separuh masa pertama. Bagaimanapun, kami berjaya bangkit dan beraksi lebih baik di separuh masa. Hanya satu gol diperlukan untuk meniup semangat pemain.
“Saya gembira kerana berjaya jaringkan satu gol pada perlawanan hari ini (semalam). Saya cuma ingat pesanan pengurus supaya tenang di hadapan gol dan tidak mensia-siakan peluang terhidang,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, Leipzig yang beraksi sebagai pasukan pelawat mendahului perlawanan 2-0 menerusi dua gol Lois Openda sebelum City bangkit dengan tiga gol hasil jaringan Erling Haaland, Foden dan Julian Alvarez.
Kemenangan itu juga lebih manis buat City apabila menyaksikan Haaland melakar sejarah baharu apabila menjadi pemain pertama yang menjaringkan 40 gol Liga Juara-Juara dalam 35 penampilan sahaja. – AGENSI