fbpx

Ulat bulu hitam serang Kuala Muda kerana pokok api-api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jabatan Pertanian telah menjalankan siasatan penuh berhubung serangan ulat bulu hitam yang tertumpu di Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah pada 23 November lepas.

Jabatan Pertanian dalam kenyataan berkata, hasil dianostik melalui Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT) ulat berkenaan muncul dengan memakan daun pokok api-api (Avicennia spp) yang tumbuh sekitar persisir pantai sehingga menyebabkan serangan pada bahagian daun tanaman tersebut tidak dapat melakukan proses fotosintesis dan mati.

Katanya, berdasarkan maklumat jabatan itu, serangan ini pernah berlaku dan berulang di kawasan yang sama pada tarikh 27 November 2016 serta mengakibatkan radang pada kulit sekiranya berlaku sentuhan atau terkena cecair ulat tersebut.

“Merujuk pada data yang diambil dari serangan yang lalu, ulat ini dikenali sebagai Hyblaea puera (Carmer, 1777) dari Order Lepidoptera dan Keluarga Hyblaeidae atau nama biasanya Rama-Rama Jati (Teak Defoliator).

“Serangga ini adalah serangga yang terdapat di kawasan tropika dan hidup secara semulajadi di kawasan hutan dan paya bakau.

“Kitaran hidup rama-rama Jati ini mengambil masa antara 18 hingga 36 hari iaitu daripada peringkat telur hingga dewasa. Kitaran ini bergantung kepada keadaan cuaca dan kedapatan sumber makanan,” kata kenyataan itu hari ini.

Jelasnya, ulat bulu hitam atau rama-rama Jati ini adalah serangga perosak utama pokok jati dan ia juga perosak minor kepada lebih 45 jenis tumbuhan yang kebanyakannya adalah pokok hutan atau paya bakau termasuk pokok api-api yang terdapat di persisiran laut berhampiran kampung tersebut.

“Serangan perosak ini kerap dilaporkan menyerang kawasan tanaman jati (semulajadi dan komersial) selain tumbuhan hutan di negara-negara Asia Tenggara, India, Mexico Bangladesh, China, Amerika Tengah, Afrika, Australia dan kepulauan Caribbean,” ujarnya.

Jabatan Pertanian juga menasihati orang ramai untuk terus berwaspada dan berhati-hati ancaman ulat ini dalam fasa pengawalan.

“Jika serangan masih berterusan hendaklah merujuk Jabatan yang bertangungjawab,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, kekurangan sumber makanan selain perubahan cuaca dipercayai antara faktor yang menyebabkan serangan ulat bulu hitam berlaku di kampung berkenaan pada minggu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab Ghani, berkata kekurangan sumber makanan ulat bulu hitam adalah seperti pokok jati dan pokok api-api yang terdapat di kawasan pesisir pantai di kampung berkenaan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI