KUCHING – Polis menahan seorang remaja perempuan yang dipercayai ibu kepada bayi yang dibuang dalam semak kawasan perumahan di Lorong 19 Cahaya Damai, Bandar Baru Samariang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata suspek warga tempatan berusia 14 tahun itu dicekup di kawasan Matang pada pukul 8 malam, sejurus selepas penemuan bayi yang masih bertali pusat itu kira-kira pukul 9 pagi.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bayi perempuan itu daripada orang awam yang terdengar tangisan dan segera menggerakkan anggota ke lokasi.
“Setibanya di lokasi mendapati bayi tersebut masih hidup dan dalam keadaan sihat. Bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut dan akan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya, hari ini.-KOSMO! ONLINE