SHAH ALAM – Tahap kesedaran penjawat awam termasuk guru yang masih rendah menyebabkan masih ramai tidak memiliki perlindungan perubatan persendirian meskipun pelbagai program pendidikan dilakukan kepada mereka.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, situasi ini berlaku dengan alasan utama adalah komitmen kewangan yang tinggi selain kebergantungan kepada perkhidmatan rawatan serta perubatan di hospital atau klinik kerajaan.
Katanya, perlindungan insurans tersebut sebenarnya menjadi alternatif bagi mendapatkan rawatan penghospitalan dan pembedahan di hospital pakar swasta seluruh negara.
“Kita tidak kata rawatan di hospital kerajaan tidak bagus cuma. Mereka bagus, ada pakar dan percuma kepada penjawat awam. Cuma kita tahu mereka berkhidmat untuk 33 juta rakyat dan ini semestinya ada kekangan termasuk menunggu dan beratur bagi sesuatu rawatan.
“Jadi, bila ada perlindungan insurans persendirian ini dapat meminimakan kerunsingan (apabila berdepan kecemasan) seterusnya memartabatkan profesion guru bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan secara terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Shamsul Azman Alias melancarkan kad perubatan NUTP Medicare untuk warga guru di sini, hari ini.
Menurut Aminuddin, inisiatif kad perubatan berkenaan membolehkan guru-guru mendapatkan rawatan perubatan lebih pantas dengan kemudahan kemasukan tanpa tunai melalui lebih 160 panel hospital pakar swasta.
Ujarnya, NUTP Medicare ini memberikan perlindungan kepada ahli, pasangan dan semua anak tanpa had bilangan yang berusia 23 tahun ke bawah sehingga RM150,000.
“Kadar sumbangan tetap bermula serendah RM70 sebulan bagi pelan individu dan RM180 sebulan bagi pelan keluarga dengan kita akan memasarkan kepada 230,000 ahli NUTP seluruh negara.
“Apa yang kita tekankan adalah kebajikan mereka sentiasa terpelihara semasa berkhidmat atau selepas bersara. Malah usaha ini secara tidak langsung sebenarnya membantu meringankan beban kerajaan kerana kos atau tanggungan perubatan ditanggung pihak insurans,”katanya.
Ketika ditanya jenis penyakit paling tinggi dihidapi guru, Aminuddin menjelaskan ia melibatkan penyakit jantung dan kanser namun tidak menjelaskan secara spesifik jumlah guru yang mempunyai penyakit berkenaan.
“Namun, kita mempunyai tabung kebajikan khas dengan ahli-ahli NUTP akan menerima sumbangan RM2,000 bagi meringankan beban mereka,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE