PARIS – Kakitangan kerajaan Perancis secara rasmi dilarang menggunakan WhatsApp, Telegram, Signal dan aplikasi mesej lain untuk tujuan komunikasi dalaman berkuat kuasa 8 Disember ini, lapor portal berita RT semalam.
Menurut notis mengenainya daripada Perdana Menteri, Elisabeth Borne yang didedahkan badan penyiaran Perancis, BFMTV, larangan itu adalah kerana kelemahan keselamatan pada semua aplikasi tersebut.
Anggota Kabinet sebaliknya digalak menggunakan aplikasi mesej tempatan, Olvid. Aplikasi Perancis itu tidak memerlukan kad SIM atau nombor telefon daripada penggunanya.
Olvid juga dikatakan lebih privasi dan selamat berbanding pesaingnya. Ia adalah satu-satunya platform pemesejan yang menerima sijil keselamatan Agensi Kebangsaan Perancis untuk Keselamatan Sistem Maklumat (ANSSI).
Satu lagi aplikasi pemesejan Perancis, Tchap juga dibenarkan digunakan oleh kakitangan kerajaan negara itu.
Peraturan itu menyerupai polisi tentera Switzerland yang mengarahkan askar-askarnya berhenti menggunakan tiga aplikasi pemesejan popular tersebut pada tahun lalu.
Ia sebaliknya mengarahkan anggota-anggota tentera menggunakan Threema iaitu perkhidmatan pemesejan yang dibangunkan di Switzerland untuk perbualan rasmi dan peribadi.
Pada Mac lalu, Menteri Perkhidmatan Awam, Stanislas Guerini mengumumkan bahawa TikTok dan aplikasi serupa dengannya seperti X serta Instagram dilarang dalam telefon kerajaan kerana risiko keselamatan. – AGENSI