fbpx

Penganggur dera anak rakan dijel 8 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norhaslina (dua dari kiri) dan Nur Intan Baiduri (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk prosiding pendakwaan hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Seorang penganggur dipenjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan yang juga anak kepada rakannya sejak sebulan lalu.

Tertuduh, Norhaslina Hassim, 42,membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Bagaimanapun, adiknya, Nur Intan Baiduri, 32, yang turut didakwa atas kesalahan sama bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Norhaslina dan Nur Intan Baiduri didakwa bersama-sama menganiaya kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan ketika kejadian dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan oleh mereka di sebuah rumah di Pangkal Changgong, Machang antara 27 Oktober sehingga 19 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin dan Norhaslina tidak diwakili peguam manakala Nur Intan Baiduri diwakili Wan Mohd. Ikram Wan Ibrahim.

Terdahulu, Abu Arsalna memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh pertama dan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kedua.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun kepada Norhaslina yang bermula daripada tarikh dia tangkap iaitu pada 19 November lalu, manakala tertuduh kedua tidak dibenarkan ikat jamin.

Mahkamah turut menetapkan 28 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi kes yang dihadapi Nur Intan Baiduri.

Mengikut fakta kes, polis terima panggilan dari Hospital Machang yang memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 1.45 tengah hari pada 19 November lalu.

Susulan daripada laporan itu, polis menahan dua orang wanita selain merampas dua telefon bimbit, sebatang rotan panjang dan satu penyangkut baju di sebuah rumah.

Siasatan mendapati, Norhaslina dan adiknya memukul mangsa dengan menggunakan tangan, penyangkut baju dan rotan panjang sehingga menyebabkan badan dan kepala kanak-kanak itu cedera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI