fbpx

LKIM, Nekmat atasi isu orang tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (kiri) meninjau proses pembuatan produk hiliran, satar di Kompleks Perikanan LKIM, Kuala Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) diarahkan mencari mekanisme terbaik bagi mengurangkan impak orang tengah dalam pasaran ikan tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peranan orang tengah sangat kuat sehingga menyebabkan jurang harga ikan di kawasan tangkapan dengan pasar ikan terutama di bandar-bandar besar sangat besar.

Beliau berkata, nelayan tidak menikmati hasil yang setimpal berbanding harga jualan kepada pengguna disebabkan campur tangan orang tengah terbabit.

“Harga ikan kerisi di sini (Kuala Kemaman), RM10 bagi tiga kilogram (kg) tetapi Taman Tun Dr. Ismail (Kuala Lumpur) pula RM12 sekilogram.

“Nelayan menderita, pengguna pula merungut. Yang tentukan (harga) orang tengah,” katanya ketika ditemui pada program Santai Madani Bersama Nelayan di Kuala Kemaman di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, LKIM dan Nekmat akan memainkan peranan lebih proaktif bagi mengatasi masalah berkenaan.

Jelas beliau, ia termasuk peranan menghantar bekalan ikan yang ditangkap nelayan terus kepada pengguna dimainkan kedua-dua agensi bagi mengurangkan impak orang tengah.

“Saya akan beri tumpuan (kurangkan peranan orang tengah). Kalau perlu peruntukan pengangkutan, kita akan minta (kepada kerajaan),” katanya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI