LARIAN rentas gunung bukan sahaja mencabar keupayaan fizikal seseorang individu, malah menguji ketahanan mental.
Ini kerana, seorang pelari rentas gunung perlu menghadapi situasi tidak diduga seperti keadaan bentuk muka bumi dan cuaca semasa.
Namun, kesukaran tersebut tidak menghalang 100 peserta dari dalam dan luar negara untuk menyahut cabaran larian merentas empat gunung yang dianjurkan oleh Mountains Please Enterprise baru-baru ini.
Para peserta memulakan cabaran Yong Belar 3 Boundaries (YB3B) itu di Yong Belar Park, Lojing Highland, Gua Musang, Kelantan.
Larian yang bermula seawal pukul 5 pagi itu memerlukan peserta mengharungi perjalanan sejauh 25 kilometer (km) dengan ketinggian 2,145 meter (m) dalam masa 15 jam.
Antara gunung yang perlu direntas peserta adalah Gunung Yong Belar (2,181m), Gunung Challi (1,923m), Gunung Tiga Negeri (sempadan Kelantan, Perak dan Pahang) (1,805m) dan Gunung 6040 (1,840m).
Menurut penganjur dan pengurus acara, Norsyazila Che Ali, 39, cabaran yang dianjurkan bersama suami, Saiful Mohd. Yunus, 35, itu memberikan pengalaman larian gunung yang berbeza buat peserta terlibat.
“Tarikan utama penganjuran YB3B kali ini adalah peluang kepada para peserta untuk menikmati keindahan isi alam Banjaran Titiwangsa menerusi Gunung Yong belar.
“Mereka juga dapat merasai pengalaman hebat mengharungi denai gunung yang mencabar ketika merentasi Gunung Tiga Negeri yang merupakan sempadan di antara Kelantan, Perak dan Pahang,” katanya kepada Horizon.
Untuk pengetahuan, penganjuran larian rentas gunung di Lojing Highland itu merupakan julung kali diadakan.
Atas sebab itu, ramai peserta teruja untuk menyahut cabaran larian sambil meninjau persekitaran semula jadi yang masih belum diterokai.
Sambutan aktiviti larian gunung yang menggalakkan itu berakhir dengan penyampaian hadiah buat pemenang-pemenang terlibat.
Bagi kategori lelaki, cabaran YB3B dimenangi oleh Ahmad Tanjong dari Sabah yang menamatkan keseluruhan cabaran dalam masa enam jam 13 minit.
Lelaki berusia 43 tahun tersebut tiba di garisan penamat lima minit di hadapan pemenang tempat kedua, Suparman Samsudin.
Sementara itu, tempat ketiga pula menjadi milik Assrul Aminur Abd. Halim dengan catatan masa 6 jam 33 minit.
Mengulas mengenai rahsia kejayaan pertamanya menjuarai cabaran sedemikian, Ahmad memaklumkan, persediaan awal merupakan kunci kejayaannya.
Antara persediaan dilakukannya adalah rutin larian off road sejauh 10 km sekurang-kurangnya lima kali seminggu, lakukan larian di gunung dengan ketinggian sekurang-kurangnya 1,000 m dua kali seminggu.
“Sewaktu lakukan latihan larian, jangan elak bahagian naik bukit. Lakukan larian berkenaan secara santai bersama rakan-rakan agar dapat kekal bermotivasi.
“Saya juga mengambil makanan berprotein untuk mengelakkan tisu badan daripada mudah cedera sepanjang larian,” jelasnya.
Dalam pada itu, kategori wanita pula dimenangi oleh Ang Yee Mei dengan catatan masa 7 jam 1 minit, diikuti oleh Elsa Ng (7 jam 23 minit) dan Ng Song Hiang (9 jam 8 minit).