PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil lima orang saksi berhubung kes gangguan seksual membabitkan ketua pengarah agensi penguat kuasa baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, siasatan kes gangguan seksual membabitkan seorang wanita berusia 39 tahun telah selesai dijalankan.
“PDRM telah memanggil seramai lima orang saksi untuk dirakam keterangan. Setakat ini, tiada saksi lain yang akan dipanggil untuk dirakam keterangan.
“Kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara esok,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Razarudin, tindakan yang diambil pihaknya adalah selari dengan perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan salinan laporan polis dari Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, pada 14 November itu telah tular di media sosial.
Penasihat kewangan, 39, mendakwa ketua pengarah bergelar ‘Datuk’ itu mengeluarkan kata-kata lucah terhadapnya selepas pertemuan kali pertama mereka pada November tahun lalu bagi menawarkan peluang pelaburan.
Menurut mangsa, ketua pengarah terbabit pernah beberapa kali mengajaknya untuk berjumpa di hotel dan pusat karaoke.
Ketua pengarah itu bertindak menghantar kira-kira 10 video serta gambar lucah melalui mesej di telefon bimbit sejak Ogos lalu sehingga menyebabkan mangsa tertekan, trauma dan mengalami kemurungan dengan kejadian itu.
Difahamkan, wanita itu juga diugut agar tidak melaporkan perkara itu kepada sesiapa. -KOSMO! ONLINE.