PETALING JAYA – Kertas Putih Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan pada pukul 3 petang ini untuk dibahaskan oleh Ahli Parlimen buat kali pertama.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kertas putih ini dibentangkan secara khusus di Parlimen agar persoalan gaji rakyat dalam sektor swasta menjadi tumpuan negara dan ahli politik.
Ujarnya, salah satu niatnya dari awal adalah untuk membantu mewujudkan tenaga dan pasaran kerja yang lebih dinamik selain mewujudkan gaji yang lebih baik.
Tegas beliau, peluang kerjaya yang sepadan dengan kelulusan dan kemahiran perlu dilaksanakan selari dengan pasaran yang mengangkat tenaga kerja menjadi lebih rajin dan mahu ke depan.
“Kementerian Ekonomi telah memberi tumpuan untuk merungkai masalah gaji rakyat dari hari pertama saya masuk pejabat.
“Kami berharap dengan data-data yang telah dibentangkan setakat ini dari Statistik Upah Sektor Formal, ramai yang boleh bersetuju bahawa gaji rakyat wajar dinaikkan.
“Dalam Kabinet, Datuk Seri Anwar Ibrahim menumpukan usaha menyelesaikan masalah gaji kakitangan awam, sementara saya memberi tumpuan kepada gaji sektor swasta,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tambahnya, beliau sedar usaha menaikkan gaji rakyat iakan mengambil masa yang panjang dan berkait dengan banyak perkara lain seperti penstrukturan semula ekonomi negara.
“Kesannya mungkin hanya dirasai selepas saya tidak lagi berada dalam politik dan saya berharap menteri-menteri selepas saya terus memberi tumpuan kepada isu ini.
“Namun saya bersyukur kerana berpeluang memulakan langkah ke arah mewujudkan sistem gaji yang lebih baik kepada semua pekerja di semua peringkat dengan pembentangan hari ini,” katanya.
Terdahulu, Rafizi berkata, peruntukan pelaksanaan rintis gaji progresif untuk pekerja dan syarikat swasta awalnya telah dimasukkan di dalam Belanjawan 2024 di bawah Kementerian Ekonomi.
Projek rintis pelaksanaan gaji progresif akan dilaksanakan pada 2024, bagi menilai keberkesanan dan ketersediaan dasar tersebut.
Ia membabitkan 1,000 syarikat yang memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999. – KOSMO! ONLINE