PETALING JAYA – Gara-gara mahu untung besar, pelakon Abby Abadi terpaksa berputih mata selepas ditipu sindiket pelaburan atas talian (scammer) membabitkan kerugian sehingga RM18,500.
Mengakui apa yang berlaku adalah atas kecuaian sendiri, Abby atau nama lengkapnya Arbaiyah Abdul Manan, 46, berkongsi tentang kejadian tersebut dalam Instagram miliknya.
“Saya kena scam (tipu). Hati-hati semua jangan terkena macam saya.
“Dah berjaga-jaga pun kena juga (tipu). Mula-mula perasan nama dimasukkan dalam kumpulan Telegram ‘Trade Free Income’.
“Rasa was-was mulanya. Tapi lama-lama jadi teruja sebab kononnya semua yang melabur dapat pulangan berganda dalam masa tiga jam sahaja. Pandai betul main peranan,” ujarnya.
Tambah pelakon drama bersiri kepolisian, Gerak Khas itu lagi, kejadian ditipu sehingga membabitkan kerugian ribuan ringgit adalah berpunca daripada sikap tidak pernah berasa cukup.
“Inilah bahana bila tidak pernah merasa cukup! Tapi manusiakan, walaupun nampak macam mustahil dapat pulangan besar semudah itu.
“Tapi rasa terpanggil pula untuk melabur. Mula-mula masukkan RM4,000 dan dijanjikan pulangan sehingga RM145,000 dalam masa tiga jam.
“Tapi selepas itu kena masukkan lagi RM14,500. Saya tahan seminggu lagi untuk masukkan. Tapi selepas dipujuk, akhirnya saya masukkan juga,” dedahnya.
Sedar diri akhirnya ditipu, Abby terus membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Ampang Jaya, Selangor pada Rabu (semalam).
“Baran dah datang. Memang rasa sangat lebur duit aku dengan geng scammer ni. Baru tengah hari tadi (semalam) ke balai polis buat laporan. Melampau sangat scammer berleluasa sekarang.
“Doakan saya dapat semula duit. Pernat kerja. Kecuaian diri sendiri, harap tak lebur (duit) begitu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Abby turut memuat naik tangkap layar bersama individu daripada kumpulan pelaburan tersebut yang menjanjikan pulangan sebanyak RM14,500 selepas tiga jam membuat transaksi pertama.
Dalam ruangan komen, ramai pengguna media sosial mendedahkan bahawa scammer hari ini lebih cenderung menggunakan aplikasi Telegram untuk tujuan penipuan dan meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati.
Malah, ada juga yang mendakwa seakan-akan tidak percaya bagaimana Abby dengan mudah ditipu sindiket pelaburan wang atas talian walaupun dijanjikan keuntungan yang tidak masuk akal.
“Malas nak cakap. Dah masuk tahun 2023. Semoga jadi pengajaran,” ujar seorang netizen.
“Dah tahun 2023 masih lagi ada orang percaya untung ribuan tinggit dalam masa tiga jam?,” tegur seorang lagi pengguna Instagram. – KOSMO! ONLINE