CAPE TOWN, Afrika Selatan – Kumpulan Hamas bersedia untuk menukar semua tebusan askar Israel bagi mendapatkan semula penduduk Palestin yang ditahan Rejim Zionis, lapor portal berita TRT semalam.
Seorang pegawai kanan Hamas berkata, kumpulan pejuang itu bersedia untuk membebaskan semua askar Israel yang ditawan sebagai pertukaran untuk semua tahanan Palestin yang dipenjarakan di Israel.
“Kami bersedia untuk membebaskan semua askar sebagai pertukaran untuk semua tahanan kami,” kata bekas Menteri Kesihatan Hamas yang juga pegawai pejuang Palestin, Bassem Naim pada sidang media di Cape Town, Afrika Selatan.
Tawaran itu datang ketika Hamas membebaskan 16 tebusan dari Gaza menjelang tamat tempoh gencatan senjata hari ini.
Penduduk Palestin yang dibebaskan daripada penjara Israel itu termasuk 16 kanak-kanak di bawah umur dan 14 wanita, kata jurucakap Kementerian Luar Qatar.
Tawaran itu dibuat sebelum Hamas mengumumkan gencatan senjata kemanusiaan yang sepatutnya berakhir semalam, dilanjutkan sehari lagi.
Tentera Israel melancarkan serangan balas di Gaza pada 7 Oktober lalu sehingga mengakibatkan lebih 15,000 penduduk Palestin termasuk 6,000 kanak-kanak terkorban sebelum gencatan senjata kemanusiaan dilaksanakan pada Jumaat minggu lalu. – AGENSI