MARANG – Gara-gara menggantung dan mengibar bendera Israel pada bulan lalu, seorang pengusaha premis aksesori kenderaan dipenjara enam bulan dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Zur Azureen Zainalkefli menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh, Harma Zulfika Deraman, 30, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Zur Azureen turut memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara lima tahun kesalahan menyalahgunaan dadah mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 di Penjara Marang di sini.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mempamer bendera Israel di tempat awam yang bertentangan dengan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.
Dia melakukan perbuatan itu di sebuah bengkel aksesori kenderaan di Kampung Padang Lebam, Bukit Payung pada pukul 1 petang, 19 Oktober lalu.
Kosmo! Online 21 Oktober lalu melaporkan seorang premis aksesori kenderaan ditahan setelah menimbulkan kemarahan awam setelah memasang bendera Israel di premis perniagaan. – KOSMO! ONLINE