KUANTAN – Peruntukan sebanyak RM400 juta untuk membaik pulih dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara dalam pembentangan Belanjawan 2024 lalu, membuktikan keperihatinan kerajaan terhadap aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM).
Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Farizal Myeor berkata, inisiatif tersebut dilihat memanfaatkan Navy People dalam memastikan kebajikan anggota dan keluarga mereka terbela.
Menurut beliau, dengan membaik pulih dan menyelenggara RKAT juga dilihat dapat mewujudkan satu persekitaran yang baik dan berkualiti kepada komuniti.
Tambahnya, sepanjang tahun ini, Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) telah melaksanakan kerja baik pulih Rumah Kediaman TLDM (RKTLDM) dengan melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM2.1 juta untuk projek pembaikan terbabit.
“Ini termasuklah membaik pulih bumbung, membaik pulih cat bangunan dan rumah keluarga, pembaikan pagar keselamatan dan membaik pulih rumah-rumah yang mengalami kerosakan.
“Antara projek yang difokuskan adalah kerosakan utama seperti kebocoran saluran perpaipan air, pendawaian elektrik dan kerosakan lain yang boleh membahayakan penghuni.
“Kerja-kerja senggaraan dan penambahbaikan Surau Al Amin di RKTLDM Balok Perdana dan Surau Balok Sejahtera juga selesai dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada warga untuk beribadah,” katanya ketika ditemui di Pangkalan TLDM Kuantan di sini semalam.
Farizal memberitahu, turut dilakukan kerja-kerja senggaraan membaik pulih dan pembaikan tambahan Rumah Badan Amal Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Laut dan Tadika MAWILLA 1 yang meliputi siling ruang utama, ruangan perhimpunan, jeriji, pentas, tandas dan pantri juga turut dilaksanakan.
Dalam pada itu, sebanyak empat kompleks RKTLDM dengan keseluruhan 674 unit perumahan disediakan buat pegawai dan anggota markas dan unit di bawah naungan MAWILLA 1.
Kompleks perumahan RKTLDM Balok Perdana dibuka pada 1 Jun 2007 dilengkapi dengan surau Al-Amin, Auditorium Tun Abdul Razak, Rumah BAKAT Laut, sekolah agama, Tadika Kemas, kawasan riadah, kedai serbaneka dan sebuah pejabat perumahan.
Sementara itu, isteri Ketua Jurutera KD Terengganu, Nur Hazwani Zulkifly, 39, berkata, dia sekeluarga merasa lebih selesa dan selamat apabila menetap di Rumah Kediaman TLDM Balok Perdana di sini.
“Kami sekeluarga rasa selamat tinggal di sini. Rumah ini ada empat bilik dan cukup selesa selain keadaan rumah yang sentiasa diselenggara dan terbaharu, rumah ini telah dicat dan atap rumah telah diganti,” jelasnya.
Seorang lagi penghuni RKTLDM Balok Perdana, Staf Tatatertib Sri Kuantan, LK I PRL Nur Syamimi Samshuri yang juga Pegawai Waran 1 TMK Tc, Mohd. Khairul Khawashy berkata, kemudahan serba lengkap RKAT memudahkan kehidupan anggota selain dapat menjimatkan kos kehidupan.
“Kita tidak perlu fikir tentang hal lain tentang penyelenggaraan rumah kerana segala perkara diuruskan oleh pihak bertanggungjawab,” katanya. -KOSMO! ONLINE