PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan dadah dilihat sedikit berisi.
Jika beberapa bulan lalu, wajah lelaki itu kelihatan cengkung, namun hari ini badannya dilihat berisi selain wajah dilihat ‘chubby’.
Ketika ditemui, pemilik nama lengkap Muhammad Yasin Sulaiman, 48, itu mengakui tidak pernah menjangkakan keputusan memihak kepadanya selepas sekian lama naik turun mahkamah.
Menurut Yasin, dia tidak pernah mengharapkan keputusan memihak kepadanya 100 peratus.
“Tidak jangka keputusan hari ini (lepas dan bebas), sebenarnya 50-50. Bagi yang mengikuti perbicaraan nampaklah berat kepada kemenangan (saya), tetapi saya sentiasa bersedia untuk keputusan yang ke kiri atau ke kanan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya perancangan selepas diperintah ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, Yasin berkata apa pun akan menyempurnakan rawatan bipolar dihidapinya di sana.
“Sekarang ini saya perlu kembali ke Tanjung Rambutan (Hospital Bahagia Ulu Kinta), di bawah perkenan Sultan Selangor untuk sempurnakan rawatan bipolar saya di sana dan saya akan kekal di sana selama mana yang Tuanku tetapkan.
“Kemudian daripada itu saya akan buat satu lagi permohonan untuk kembali ke kampung halaman di Kajang dan Damansara,” katanya.
Tambahnya lagi, sebaik habis rawatan dia berjanji akan kembali mewarnai industri hiburan sebaik habis rawatannya di hospital itu.
“Pasti (akan kembali dalam industri), dah banyak lagu yang saya sediakan InsyaAllah akan terbitkan lagu macam biasa,” katanya yang turut memohon maaf kepada mereka yang terkesan dengan penyakit bipolar dihidapinya. – KOSMO! ONLINE.