KUALA LUMPUR – Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Abdul Wahab Abdul Kadir dilaporkan akan memberikan keterangan di Bukit Aman, hari ini.
Difahamkan, keterangan yang akan diambil pada pukul 3 petang ini berhubung siasatan video perbualan lucah yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah J-Kom, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.
Wakil peguam, Faizal Abd Rahman ketika dihubungi telah mengesahkan Abdul Wahab akan melakukan rakaman percakapan tersebut.
“Ya, confirm (pasti),” katanya ringkas kepada pemberita.
Terdahulu, Abdul Wahab dilaporkan mengalami kemurungan dan perlu sedikit masa untuk tampil beri keterangan kepada polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya berusaha menjejaki Abdul Wahab ekoran selepas usaha menghubungi gagal apabila telefon bimbit dimatikan.
“Kita sedang mengesannya kerana dia saksi penting dalam siasatan ini,” ujarnya.
Pada 17 November lalu, Abdul Wahab dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel di Bangi mendedahkan tindakannya merakam perbualan berunsur lucah bersama Mohammad Agus didalangi seorang individu dikenali sebagai Mr H.
Susulan kenyataannya itu, polis memanggil individu dipercayai Mr H yang dimaksudkan bagi dirakam keterangan. – KOSMO! ONLINE