PUTRAJAYA – Ujian Amali Sains bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 akan dilaksanakan pada 5 hingga 7 Disember 2023 melibatkan mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, susulan itu, seramai 91,908 orang calon telah mendaftar bagi mata pelajaran Fizik, Kimia (93,135 calon), Biologi (72,841 calon) dan Sains Tambahan (1,784 calon).
“KPM ingin mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan selain arahan perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun di laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my,” katanya tadi.
KPM menjelaskan, calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2023.
“KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2023 berlangsung.
“Jadi, KPM sentiasa siapsiaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan,” ujarnya.
Sehubungan itu, semua calon peperiksaan SPM Tahun 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.
“KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” katanya. – KOSMO! ONLINE