PETALING JAYA – Konsert Milenia 2023 yang menghimpunkan penyanyi dangdut Malaysia dan Indonesia akan tetap direalisasikan biarpun sudah ditunda kali ketiga atas beberapa sebab.
Pengarah Projek Mission Sight Sdn. Bhd, Riezman Khuzaimi, berkata syarikatnya tidak dapat menuruti kehendak pihak yang mendesak mereka membatalkan persembahan mega tersebut berikutan sudah membelanjakan RM500,000.
“Memang ada pihak mendesak kami membatalkan penganjuran konsert yang mengetengahkan irama dangdut, tetapi perkara itu sukar dilaksanakan kerana perlu mendapat persetujuan rakan kongsi.
“Konsert ini bukan membabitkan saya seorang selain kena pertimbangkan banyak faktor selepas kami belanjakan RM500,000 termasuk deposit untuk artis, itu tak termasuk wang yang ditipu sewaktu melantik konsultan.
“Kita dah jual lebih 1,000 tiket bermakna ada sambutan terhadap konsert ini, malah kalau hanya 2,000 penonton pun kami tetap teruskan sebab tak mahu fikir lagi untung rugi, asalkan dapat habiskan apa yang kita mulakan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Riezman yang ditemui ketika tayangan gala filem seram Syif Malam mengakui belum menetapkan tarikh baharu konsert itu kerana tiada sesiapa mampu menjangkakan bilakah konflik Palestin akan berakhir.
Mereka akur dengan menundakan lagi konsert yang sepatutnya berlangsung pada 25 November ini buat kali ketiga disebabkan bukan hanya menghormati keadaan, malah enggan netizen terus mengumpul dosa.
“Kita terpaksa tangguhkan konsert ini demi menghormati Palestin dan kita pun tidak mahu memberikan hiburan yang berlebihan. Kalau benda lain saya boleh langgar namun isu seperti ini saya tak sanggup.
“Lagi satu sebab kecaman netizen sangat melampau, jadi saya rasa biarlah kita redakan dahulu keadaan. Bukan saya ‘koyak’, tapi saya tak larat tengok melihat mereka (netizen) menanggung dosa kerana berterusan mengecam kami.
“Sejujurnya saya enggan menyemarakkan lagi kemarahan orang sampai saya sendiri pun tak pergi menonton konsert Coldplay walaupun sudah ada tiket,” ujarnya.
Konsert Milenia anjuran syarikat milik pelakon itu sebelum ini dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati pada 30 September, tetapi ditukar ke 25 November kerana sambutan Maulidur Rasul.
Awalnya projek ini dikenali sebagai Konsert Goyang Asia Koplo Milenia dan sepatutnya diadakan di Pusat Ekuestrian, Bukit Kiara pada 12 Ogos lalu tetapi ditangguh selepas pihak konsultan yang dilantik didakwa gagal melaksanakan tugas.
Sementara itu, mengenai naskhah arahan Fairus Anuar yang bakal menemui penonton pada 30 November ini, Riezman mengakui plot diangkat daripada kisah seram di sebuah bangunan komersil menarik perhatiannya untuk terbabit dalam filem ini.
Selain Riezman, karya terbitan Empire Film Solution dan Thinkerbell Studios itu turut dibintangi
Taqim Zaki, Anas Ridzuan, Shahkimin, Zera Hariz, Kamarul Eqifshah, Sobri Anuar, Ismeth dan Mili Supina. – KOSMO! ONLINE