fbpx

Runtuhan gudang: Wakil syarikat sedia urus bawa pulang jenazah Saiful

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor dan Tayabur rahman di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, di hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Wakil syarikat pembinaan akan membantu menguruskan jenazah seorang daripada tiga warga Bangladesh yang maut dalam tragedi runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas di sini, malam semalam.

Wakil syarikat pembinaan yang beroperasi di Puchong, Noor, 40-an, berkata, salah seorang buruh binaan yang terkorban dalam kejadian itu dikenali sebagai Saiful, 29.

Walau bagaimanapun, katanya, pihaknya perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum membantu menghantar pulang jenazah mangsa ke Bangladesh.

“Saya bergegas ke sini apabila dimaklumkan salah seorang pekerja kami terlibat dalam tragedi runtuhan ini.

“Arwah sudah bekerja bersama syarikat sejak lebih lima tahun lalu dan sering dihantar untuk bekerja di pelbagai lokasi antaranya Terengganu dan Kuantan, Pahang.

“Arwah baru sahaja dihantar ke sini (Batu Maung) untuk bekerja di tapak pembinaan terbabit. Keluarganya sudah dimaklumkan berhubung tragedi ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.

Terdahulu, Noor hadir bagi proses pengecaman mangsa dengan ditemani beberapa individu lain termasuk rakan baik arwah, Tayabur Rahman.

Mengulas lanjut, Noor berkata, arwah Saiful yang masih bujang memiliki peribadi menyenangkan dan lemah lembut.

Saiful antara tiga buruh binaan yang disahkan maut dalam tragedi runtuhan di tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung, malam semalam.

“Arwah tidak tidak lupa menghantar wang belanja kepada keluarganya setiap bulan. Kali terakhir kami bertemu, arwah beritahu cuaca di Pulau Pinang panas dan minta saya belikan krim pelindung matahari bagi mengelakkan kulitnya terbakar,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 9.58 malam itu, seramai sembilan buruh binaan warga Bangladesh sedang bekerja di sebuah gudang yang dalam pembinaan runtuh secara tiba-tiba dari ketinggian 20 meter.

Tiang rasuk seberat 14 tan sepanjang 12 meter itu menimpa 14 lagi tiang rasuk lain sebelum terjatuh dan menimpa kesemua mangsa yang bekerja di tingkat bawah.

Setakat pukul 3.30 pagi tadi, tiga disahkan maut dalam kejadian itu masing-masing dua di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI