BALIK PULAU – Dianggarkan lebih 60 hingga 70 tan sisa konkrit bersama timbunan besi telahpun dikeluarkan dari kawasan runtuhan di tapak pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas di sini, setakat pukul 2 petang tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Zulfahmi Sutaji berkata, bagaimanapun masih terdapat struktur-struktur runtuhan di lokasi kejadian.
Menurutnya, pihaknya sedang mencari kaedah untuk mengeluarkan empat lagi mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan tersebut.
“Kita telah fokus dan sudah cuba dua, tiga kaedah untuk keluarkan struktur utama di lokasi kejadian.
‘Kita kena lebih berhati-hati untuk keluarkan struktur utama sebab beratnya hampir 30 tan, takut menyentuh satu sama lain, bimbang lokasi kejadian sudah tidak selamat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ketika ini, cuaca panas di daerah Barat Daya di sini mencecah bacaan 30 darjah Celsius. – KOSMO! ONLINE