GEORGE TOWN – Empat buruh binaan warga Bangladesh yang belum ditemui sehingga 17 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di tapak pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas, sejak malam tadi dipercayai sudah tertimbus dalam lantai simen.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB), Zulfahmi Sutaji berkata, ini kerana faktor cuaca yang panas menyebabkan serpihan lantai simen berkenaan yang runtuh telah mengeras.
”Mangsa mungkin dalam konkrit yang telah mengeras kerana 12 jam telah berlalu, namun konkrit ini bukan dalam keadaan yang mampat. Semua konkrit yang dibancuh kira-kira pukul 9 malam semalam telah jatuh ke bawah pada ketinggian 18 meter.
”Mangsa-mangsa dipercayai berada di dalam kawasan seluas padang bola keranjang dan apabila keadaan tapak runtuhan telah selamat kita akan mulakan operasi mencari dan menyelamat,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zulfahmi berkata, pada masa ini pasukan bomba sedang berusaha mengalihkan rasuk utama seberat 33 tan di tapak berkenaan bagi membolehkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan.
”Kami mengubah beberapa strategi, fokus utama kami untuk mengalihkan tiang rasuk utama seberat 33 tan, selepas ia dialihkan pasukan penyelamat akan memulakan kerja-kerja mencari mangsa.
”Keadaan cuaca yang panas hari ini juga turut membantu dari segi operasi kerana sekiranya hujan, ia akan menyukarkan kerja serta menyukarkan operasi mencari mangsa,” katanya.
Tambahnya, pihaknya tidak dapat menjangkakan sama ada kesemua mangsa berjaya ditemui hari ini.
“Kita tidak tahu apa lagi halangan yang akan kami hadapi selepas ini, oleh itu, saya tidak boleh menjangkakan bahawa operasi boleh tamat pada hari ini.
“Ketika ini, sudah masuk percubaan ketiga untuk kita alihkan dan tengah tetapkan untuk percubaan kali keempat. Tiang utama yang senget memberi risiko kepada kami (pasukan penyelamat).
“Kita tidak jangka memang tidak nampak benda itu ‘straight forward’ tetapi bila ia melibatkan struktur konkrit runtuh, apabila kita tarik, ia akan berkaitan antara satu sama lain, tiang rasuk, lantai besi cerucuk.
“Semua ada berkaitan dan boleh menyebabkan struktur lain turut bergerak,” katanya. -KOSMO! ONLINE