KEMAMAN – Akaun media sosial, Facebook calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor digodam pihak tidak bertanggungjawab hari ini.
Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu kecewa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang cuma berbaki kurang 72 jam ini telah dicemari taktik ‘peperangan’ kurang sihat.
“Dengan rasa kecewa saya ingin mengesahkan FB (Facebook) Page yang digunakan untuk tujuan kempen iaitu ‘Raja Mohamed Affandi’ telah digodam pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya terkilan kaedah yang digunakan dalam ‘peperangan’ PRK ini. Saya yakin tindakan itu adalah salah satu cara untuk melemahkan kempen Barisan Nasional di PRK (Parlimen) Kemaman ini,” katanya di sini hari ini.
Raja Mohamed Affandi berkata, ia bukan kali pertama medium kempen BN pada PRK Parlimen Kemaman ini cuba disabotaj dan pihaknya juga telah mengesan kewujudan akaun Facebook palsu menggunakan nama dan gambarnya pada Sabtu lalu.
Pada PRK Parlimen Kemaman, Raja Mohamed Affandi dicabar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dari Pas. – KOSMO! ONLINE