TERENGGANU FC (TFC) menyasar mencuri sekurang-kurangnya satu mata dari tempat lawan bertemu juara Australia, Central Coast Marriners bagi aksi Kumpulan G Piala AFC hari ini.
Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, kunjungan skuad Sang Penyu ke Australia bukan untuk ‘makan angin’ sebaliknya dengan misi mahu mengejutkan tuan rumah.
Jurulatih berasal dari Croatia itu bagaimanapun mengakui persiapannya masih terganggu selepas tiga tonggak pasukan masih perlu disisihkan akibat kecederaan.
“Shahrul Nizam Roshasni masih diketepikan gara-gara masalah otot, manakala Alif Zakaria dan Azam Azmi Murad masing-masing mengalami kecederaan buku lali dan lutut.
“Hanya Safwan Roslan yang bersama pasukan ke Australia namun statusnya masih 50-50 untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Berbaki dua perlawanan peringkat kumpulan, TFC menduduki tempat kedua dengan mengumpul lapan mata sambil diekori rapat Bali United, manakala Central Coast pula kekal teratas dengan sembilan mata.
Pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak 20 September lalu, TFC mencipta kejutan menumpaskan juara Australia itu 1-0 hasil gol sendiri pemain lawan, Nathan Paull.
Steinbruckner berkata, isu kecederaan itu bukan alasan TFC untuk memberi laluan mudah kepada Central Coast Marriners.
Ujarnya, beliau menuntut aksi tersusun daripada anak buahnya bagi menyuntik moral pasukan menjelang final Piala Malaysia minggu depan.