NEW DELHI – Sebuah pesawat komersial milik syarikat penerbangan Lufthansa yang berlepas dari Munich, Jerman ke Bangkok, Thailand terpaksa dilencongkan ke New Delhi hari ini disebabkan pergaduhan sepasang suami isteri, lapor agensi berita ANI.
Menurut sumber, kru kabin dalam penerbangan tersebut melaporkan ‘tingkah laku yang mengganggu’ akibat pertikaian antara suami dan isteri di dalam pesawat.
Pesawat itu pada mulanya meminta untuk mendarat di Pakistan tetapi atas sebab yang tidak didedahkan, permintaan itu ditolak.
Penerbangan berkenaan mendarat pada pukul 10.26 pagi (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi selepas juruterbang memaklumkan tentang situasi penumpang yang tidak terkawal di dalam pesawat.
Anggota keselamatan, kru penerbangan dan kakitangan lain dikatakan bercakap dengan pasangan itu di kawasan terminal selepas mereka turun dari pesawat. – AGENSI