JOHOR BAHRU – Biarpun sudah pelbagai kempen dan peringatan yang diberikan berkaitan ‘scammer’, namun masih ada yang terjerat dengan perangkap penipuan demi meraih keuntungan.
Semalam, seorang pengurus stor sebuah syarikat swasta membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam mengalami kerugian RM624,447 ditipu oleh sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan secara atas talian yang boleh mendatangkan keuntungan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, lelaki tempatan berumur 46 tahun itu mendapat tahu mengenai tawaran lumayan itu setelah terlihat iklan di media sosial pada 29 Ogos lalu.
Katanya, iklan tersebut menawarkan pekerjaan sambilan dengan cara menyiapkan tugasan tempahan hotel melalui pautan di laman sesawang yang diberikan dan dijanjikan pulangan berserta komisen.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu berminat dan kemudian telah melakukan tugasan sebagaimana yang diterangkan oleh pihak khidmat pelanggan di laman sesawang tersebut.
“Mangsa yang teruja apabila melihat komisyen yang diterima semasa melakukan tugasan awal telah membuat 26 transaksi bayaran ke dalam 26 akaun yang berlainan keseluruhannya berjumlah RM624,447.
“Lelaki itu mula merasa curiga dan percaya ditipu apabila komisyen yang dijanjikan tidak dapat dikeluarkan dan laman sesawang berkenaan tidak dapat diakses,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, bagi kes berlainan, pihaknya turut menerima aduan seorang wanita warga emas mendakwa dirinya telah ditipu sindiket pelaburan yang menawarkan skim pelaburan secara atas talian yang boleh mendatangkan keuntungan.
Katanya, kejadian bermula pada sekitar September lalu apabila mangsa berusia 78 tahun melihat iklan di Facebook sebuah syarikat menawarkan skim pelaburan yang boleh mendatangkan keuntungan tinggi dan cepat.
Tambahnya, mangsa diberikan pautan untuk menonton panduan pelaburan pada setiap hari sehingga tertarik untuk melabur.
“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan melalui tontonan panduan pelaburan tersebut telah membuat bayaran ke empat akaun yang berlainan antara Oktober hingga 20 November lalu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM420,000.
“Wanita itu mula merasa curiga dan percaya ditipu apabila tidak menerima sebarang keuntungan sebagaimana yang dijanjikan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE