PASIR MAS – Seorang remaja dari Kampung Serongga mengubah suai motosikal jenis Honda EX5 miliknya bagi membolehkan kenderaan itu mengharungi air untuk membantu memindahkan penduduk yang terjejas pada musim tengkujuh.
Nazri Kamaruzaman, 16, berkata, dia melakukan modifikasi pada kenderaan itu dengan menggunakan hos pada mesin basuh yang disambung pada bahagian karburetor.
“Selain itu, saya turut menukar tayar motosikal kepada tayar motorcross selain meninggikan struktur kenderaan tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.
Nazri memberitahu, dia melakukan kerja-kerja pengubahsuaian seorang diri dengan kos hampir RM1,000 untuk kegunaan semasa musim banjir.
Kenderaan dua roda itu boleh meredah air setinggi hampir satu meter dan masih boleh bergerak tanpa sebarang masalah.
“Motosikal ini merupakan pengangkutan yang sesuai digunakan pada musim banjir kerana sebahagian jalan ke kampung saya sudah terputus akibat dinaiki air.
“Jadi, bot tidak boleh digunakan sepenuhnya ke sini, jadi penduduk hanya menunggang motosikal untuk meredah air,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Pa’Adek Abdullah, 55, memberitahu, ramai pemuda di kampung tersebut mula mengubah suai motosikal masing-masing untuk meredah banjir.
Tambahnya, daya pemikiran kreatif golongan itu sekali gus dapat dapat membantu membawa penduduk yang terjejas ke kawasan selamat apabila jalan utama dinaiki air.