fbpx

Kempen galak berkeluarga dipergiatkan tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (dua kiri) melihat fasiliti yang ada di Immersive Winterland@i-City di sini, hari ini. FOTO OLEH AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Kempen menggalakkan rakyat negara ini untuk berkahwin dan membina keluarga akan dipergiatkan tahun depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya peka dengan kadar kelahiran yang rendah pada tahun lalu seperti dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Oktober lalu.

“Bagi memantapkan institusi keluarga (dan mengurangkan kadar perceraian), kita juga mengadakan bulan keluarga setiap November untuk menggalakkan silaturrahim.

“Justeru, kita bercadang mengadakan program (seminar) tempatan dan antarabangsa bagi menggalakkan orang muda berkahwin supaya mendapat zuriat,” katanya selepas merasmikan Immersive Winterland@i-City di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) 1.6 anak bagi setiap perempuan berusia 15 hingga 49 tahun pada tahun lalu direkodkan paling rendah sejak lima dekad lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memakluman
data tahun lalu itu juga direkod menurun berbanding 1.7 kadar kesuburan pada tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai kerjasama kementeriannya dengan i-City, Nancy memberitahu ia memberikan manfaat RM8.4 juta dalam bentuk tawaran diskaun harga rendah pakej aktiviti keluarga semasa cuti sekolah sebagai usaha memupuk semangat kekeluargaan dalam masyarakat.

Ujarnya, pembukaan Immersive Winterland@i-City juga amat sesuai untuk terapi kanak-kanak autisme yang memerlukan perhatian khusus.

“Inisiatif i-City melancarkan Immersive Winterland adalah seiring dengan trend semasa yang memanfaatkan teknologi dalam permainan dan pendidikan kanak-kanak. Seterusnya, boleh dilakukan bersama-sama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Diskaun harga serendah RM120 bermula 1 Disember ini hingga 31 Mac depan boleh didapati menerusi laman sesawang https://iticket.i-city.my. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI