KUALA LUMPUR – Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) melancarkan sebuah platform digital dengan jenama baharu, Kaotim yang menawarkan pelan perlindungan perubatan pada harga mampu milik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, platform digital itu bertujuan memberikan pengalaman yang lebih mesa menerusi proses langganan dalam talian yang lebih mudah dan pantas.
Menurutnya, pelancaran jenama baharu tersebut adalah bagi mengukuhkan kedudukan Takaful Malaysia dan kekal relevan dalam industri insurans selain mengikuti perkembangan pasaran hari ini.
“Ini adalah kali pertama kita melancarkan platform (produk) Takaful Malaysia dengan pendekatan berbeza kerana kita mensasarkan segmen yang lebih luas kali ini.
“Melihat kepada keperluan dan permintaan dalam pasaran, perlindungan perubatan yang ada ketika ini sangat mahal.
“Jadi, ini adalah inisiatif kami untuk mengurangkan beban kos perubatan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan menawarkan pelan perlindungan perubatan mampu milik,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan platform digital, Kaotim di Starhill, Bukit Bintang, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein, Pengerusi Takaful Malaysia Am, Ismail Mahbob, Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli.
Mengulas lanjut, Nor Azman berkata, Kaotim memperkenalkan MediKad serendah RM38 sebulan bagi memenuhi keperluan perlindungan perubatan untuk kumpulan usia yang berbeza.
“MediKad menyediakan kemasukan hospital tanpa tunai ke hospital panel di Malaysia dan tempoh kemasukan hospital tanpa had serta elaun tunai harian untuk kemasukan hospital kerajaan.
“Ia ditawarkan kepada rakyat Malaysia berusia antara enam hingga 69 tahun dengan tempoh perlindungan sehingga 85 tahun. MediKad ini juga menawarkan tiga pelan utama dengan pilihan ‘rider’ dan ‘MediBooster’, mengikut keperluan masing-masing,” ujarnya.
Tambah Nor Azman, mereka yang melanggan akan dilindungi serta-merta dengan hanya melengkapkan empat langkah pendaftaran dalam talian, tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Pelanggan boleh melanggan MediKad dalam talian melalui Kaotim pada bila-bila masa serta menyelesaikan transaksi dalam beberapa minit dan terus dilindungi pada hari yang sama.
“Melalui Kaotim, kami lebih dekat dengan pelanggan di mana sahaja mereka berada. Ia ringkas, mudah dan memberikan pengalaman yang lebih baik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE