fbpx

‘Janganlah marah, saya nak mati dah ni’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa di tali air Kampung Derdap, Pasir Tumboh dekat Kota Bharu petang semalam.

KOTA BHARU – “Janganlah marah saya. Saya nak mati dah ni.”

Itu luahan Mohamad Riskie Asraf Mohd. Reduan, 9, yang ditemui lemas di kawasan takungan air di Kampung Derdap, Pasir Tumboh, di sini semalam sejak sebulan lalu jika dimarahi ibunya.

Ibu kanak-kanak itu, Azlina Ahmad Azmi, 43, berkata, anaknya itu dilihat mudah terasa hati dan meluahkan perasaan ingin mati selepas dia menegur atau marah sekiranya Mohamad Riskie membuat kesalahan.

Menurutnya, dia tidak menyangka luahan anak keenam daripada lapan beradik itu menjadi kenyataan apabila Mohamad Riskie menemui ajalnya di kawasan takungan air.

“Sebagai seorang kanak-kanak, dia agak lasak dan saya banyak memarahi arwah sebelum ini. Apabila saya marah atau menegurnya, dia pasti akan menyebut mengenai mati.

“Itu satu perbuatan yang agak janggal kerana dia sebelum ini tidak mudah terasa hati jika dimarahi. Arwah juga sempat meminta maaf kepada neneknya Hasnah Sulong, 75, yang tinggal di Kampung Gong Dermin, di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya hari ini.

Azlina (dua dari kiri) dan Ahmad Afiq Aiman (depan) menunjukkan gambar Mohamad Riskie ketika ditemui pemberita di rumahnya, di Kampung Derdap, Pasir Tumboh di Kota Bharu hari ini .FOTO ROHANA MOHD.NAWI/KOSMO!

Azlina memberitahu, dia menyedari anaknya lemas di kawasan takungan air itu selepas dimaklumkan oleh adik lelakinya, Ahmad Afiq Aiman Ahmad Azmi, 9.

Sementara itu, menurut Ahmad Afiq Aiman, dia ketika itu sedang dalam perjalanan untuk membeli mi rebus di sebuah gerai sebelum melihat Mohamad Riskie terkapai-kapai meminta pertolongan di dalam kawasan takungan air.

“Saya tahu itu suara Mohamad Riskie kerana dia merupakan anak saudara saya. Saya takut untuk membantunya kerana takungan air itu sangat dalam sebelum saya terus berlari dan memaklumkan kejadian tersebut kepada peniaga mi rebus yang berada tidak jauh dari kawasan berkenaan.

“Sebelum kejadian, saya lihat arwah keluar dari rumah bersama rakannya yang berusia 8 tahun menuju ke kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kanak-kanak itu ditemui kira-kira empat meter dari tebing kawasan takungan air.

Menurutnya, siasatan mendapati, paras takungan itu dianggarkan sedalam 1.7 meter.

“Pasukan penyelamat polis dan bomba menemui kanak-kanak itu dalam keadaan tidak bernyawa pada pukul 7 petang semalam. Tiada sebarang kecederaan ditemui terhadap fizikal mayat mangsa. Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat,” katanya.

Mohd. Rosdi memberitahu, siasatan lanjut akan diteruskan dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI