KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bahawa bahawa kenaikan cukai serta cukai-cukai baharu yang akan diperkenalkan tidak akan membebankan rakyat.
Malah kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cukai tersebut tidak melibatkan beberapa perkhidmatan seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan logistik.
Beliau berkata, antara cukai baharu kerajaan ialah cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham yang tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih dan ia akan berkuatkuasa pada 1 Mac 2024 pada kadar 10 peratus.
“Beberapa cukai baharu akan diperkenalkan dan skop perkhidmatan bercukai akan diperluas antaranya cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sekarang.
“Namun, ia tidak membebankan rakyat kerana kenaikan ini tidak melibatkan perkhidmatan seperti makan minum, telekomunikasi, parkir kereta dan logistik,”katanya di Dewan Negara hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Belanjawan 2024 dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga akan mengenakan cukai barangan bernilai tinggi pada kadar lima hingga 10 peratus ke atas barang nilai tinggi tertentu berdasarkan nilai ambang harga barangan. – KOSMO! ONLINE