fbpx

Anwar kembali ke pentas Dialog Kepimpinan Islam-Konfusianisme lepas 28 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (dua kiri) bersama Ouyang Yujing (dua kanan) melakukan gimik pelancaran buku Islam and Confucianism A Civilizational Dialogue pada (ICLD2023) di Hotel dan Pusat Konvensyen Renaissance, hari ini. Foto FARIZ RUSADIO/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Selepas 28 tahun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali berucap di pentas berkaitan Islam dan Konfusianisme di Dialog Kepimpinan Islam-Konfusianisme (ICLD2023), di sini hari ini.

Anwar berkata, acara tersebut merupakan kesinambungan seminar antarabangsa yang bersejarah mengenai Islam dan Konfusianisme pada tahun 1995, di mana ketika itu dihadiri beliau, atas kapasiti Timbalan Perdana Menteri.

Jelas beliau, program berkenaan penting kepada masyarakat berbilang etnik, agama seperti Malaysia, malah juga sesuai dianjurkan negara serantau dalam usaha memupuk persefahaman dan kerjasama antara tradisi Islam dan Konfusianisme.

“28 tahun lalu kita anjurkan sidang. Seorang sarjana terkemuka bersama tokoh-tokoh Islam berbincang bagaimana perlunya orang-orang China khususnya Confucius, memahami Islam dan orang-orang Islam melihat juga kekuatan daripada falsafah dan pemikiran mereka.

“Banyak sekali titik-titik persamaan di antara sarjana terkemuka dunia mengenai Confucius,” katanya selepas berucap di majlis perasmian ICLD2023.

Menerusi acara itu, Anwar turut berkesempatan berbincang secara langsung menerusi atas talian bersama Pengerusi Profesor Kemanusiaan dan Pengarah Pengasas Institut Pengajian Kemanusiaan Lanjutan di Peking Universiti, Prof. Tu Wei Ming.

“Beliau antara sarjana terkemuka dunia yang sempat saya bicara sebentar tadi dan beliau juga mengaku agak terkejut bila datang ke seminar itu.

“Sebagai (yang ada) autoriti tentang Confucius dan mula belajar Islam (ketika itu), beliau menyeru supaya orang Islam juga melihat beberapa kekuatan dalam Confucius dan orang China belajar tentang ciri-ciri Islam,” ujarnya.

Dalam masa sama Anwar berkata, ia merupakan antara cara untuk memperkukuhkan perpaduan dan semangat baru dengan memahami serta menilai dengan lebih positif terhadap kekuatan.

“Berbeda dengan perkembangan yang ada sekarang yang disebut politik identiti, melihat kepada sesuatu kaum, agama, kemudian turut menyerang dan menimbulkan ketegangan serta permusuhan.

“Jadi kita ini maknanya bukan baru, sejak hadiri sesi tersebut 28 tahun yang lalu kita dah anjurkan kemudian ada lagi seminar beberapa tahun lalu di Pulau Pinang dan kali ni kita sambung,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau bersama Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing, turut melancarkan buku bertajuk ‘Islam and Confucianism: A Civilisational Dialogue,’ versi Mandarin, terjemahan edisi kedua baharu.

Program yang mendapat sokongan Pejabat Perdana Menteri dan Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia itu menyaksikan penyertaan 400 hadirin dengan bertemakan ‘Idea Kepimpinan Tercerahkan: Perspektif Islam-Konfusianisme,’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI