KUALA LUMPUR – “Tak timbul isu rampas-merampas. Saya dan Anna Jobling hanya kawan,”
Itu reaksi pelakon lelaki popular, Meerqeen mengulas khabar angin, Melurnya itu kini dirampas aktor meningkat naik Amir Ahnaf.
Katanya, istilah rampas tidak wujud disebabkan hubungannya bersama aktres terbabit hanyalah berstatus kawan baik tanpa sebarang perasaan cinta.
“Itu hanya persepsi orang luar kerana hakikatnya, kami bertiga tiada sebarang masalah.
“Jangan pula kerana pihak lain yang mengapi-api hal ini, hubungan kami sebagai rakan sesama industri jadi tidak baik,” katanya ketika ditemui pada majlis Viu Upfront 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Tambah pemilik nama asal Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, sebagai sahabat, dia tidak berhak menghalang Anna untuk berkawan dengan sesiapa sahaja, apatah lagi antara mereka tiada sebarang ikatan rasmi.
“Itu sahaja yang dapat saya katakan mengenai hal tersebut. Lagipun, sebagai pelakon, saya perlu bersikap profesional kerana industri hiburan kita kecil.
“Lambat-laun pasti kami akan bersua juga. Jadi, hal ini tidak perlu diperbesarkan kerana tiada isu pun antara kami,” ujar pelakon berusia 22 tahun itu.
Ditebak mengenai reaksi peminat yang masih mengharapkan penyatuan mereka dalam mana-mana naskhah, Meerqeen tidak mempunyai masalah jika produksi mahukan mereka berlakon bersama.
“Terserah kepada peminat kerana saya hanya menjalankan tanggungjawab apabila bersetuju untuk menjayakan sesebuah produksi.
“Mungkin peminat masih belum dapat melupakan keserasian kami ketika beraksi dalam Melur Untuk Firdaus tetapi, kami juga harus mencuba pelbagai watak lain yang memerlukan saya dan Anna bergandingan dengan pelakon lain.
“Dalam hal ini, semua pihak perlu bersikap terbuka. Tidak perlulah hal ini diperbesarkan dan dijadikan isu,” tuturnya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan Amir berang dan ‘menyekolahkan’ seorang netizen yang dikatakan menghina bapa Anna ketika dia sedang membuat siaran langsung TikTok.
Tindakannya itu meraih pelbagai respons malah ada yang mendakwa dia mempunyai hubungan istimewa dengan Anna.
Bagaimanapun,Jejaka yang digilai menerusi drama Projek: High Council itu menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan Anna seperti yang didakwa segelintir peminat. -KOSMO! ONLINE